YASIN Sulaiman. FOTO NSTP.
YASIN Sulaiman. FOTO NSTP.
Suraya Roslan


Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memberi masa sebulan kepada penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman untuk melantik peguam bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya berhubung kes dadah, November tahun lalu.

Ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Azmi Aman, mahkamah menetapkan 24 Mei depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Azmi berkata, penyanyi itu perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan lantikan peguam seminggu sebelum tarikh berkenaan.

"Rekod rayuan akan diserahkan pada sebutan semula kes itu, kemudian langkah seterusnya hanya akan dimaklum pada tarikh berkenaan," katanya.

Sementara itu, Yasin, 49, yang hadir ke mahkamah diiringi polis dan kakitangan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berkata, dia akan memaklumkan perkara itu kepada pihak mahkamah dalam masa terdekat.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

Dalam pada itu, pelantun lagu 'Mimpi Laila' itu berkata, pengalamannya menghuni tirai besi dikongsi dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

"Saya ada tulis buku, belum siap lagi, ia pengalaman sepanjang saya berada di penjara dan di hospital bahagia.

"Nama buku itu 'Dari Pentas Juara Ke Penjara' namun saya tidak pasti dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain," katanya.

Pada 29 November tahun lalu, Yasin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas tiga kes dadah, namun diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim Faiz Dziyauddin memutuskan bahawa penyanyi atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman diletakkan di bawah penjagaan selamat di hospital itu untuk tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

Pada 6 Julai 2022, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:42 PM