MENJALANI rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.
MENJALANI rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.
DR Ng Eng Khim melawat Rosmarya yang menjalani rawatan hemodialisis.
DR Ng Eng Khim melawat Rosmarya yang menjalani rawatan hemodialisis.
HM Digital

Risiko kegagalan buah pinggang semakin tinggi dan dianggarkan 2,400 kes baru dilaporkan setiap tahun khususnya dalam kalangan usia 60 hingga 65 tahun. Hampir 40,000 daripada golongan ini juga terpaksa menjalani rawatan dialisis terutama mereka yang berusia 45 hingga 65 tahun.

Menurut Pakar Dialisis Nephrologis Hospital Pusrawi, Dr Ng Eng Khim, rawatan dialisis dilakukan untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik atau sakit buah pinggang pada tahap akhir.

Dialisis adalah proses mencuci darah untuk membersihkan tubuh daripada bahan buangan berbahaya dalam aliran darah. Bagi manusia normal yang mempunyai buah pinggang yang sihat, kebiasaannya pencucian darah dijalankan secara semula jadi oleh organ penting ini.

“Namun apabila buah pinggang berhenti ‘bekerja’, proses dialisis terpaksa dilakukan untuk menggantikan fungsi buah pinggang. Rawatan dialisis mengambil alih tugas buah pinggang yang rosak, membantu pengeluaran lebihan air serta bahan kumuh dalam darah dan mengimbangi elektrolit badan. Ini adalah salah satu rawatan pilihan di samping pembedahan pemindahan buah pinggang bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik,” katanya.

Tambahnya lagi, dialisis hanyalah sebagai menggantikan kerja yang sepatutnya dilakukan buah pinggang yang normal tetapi ia tidak bertujuan untuk menyembuhkan atau memperbaiki kerosakan buah pinggang. Pesakit mungkin memerlukan rawatan dialisis untuk seumur hidup melainkan pemindahan buah pinggang dilakukan.

Ada dua jenis rawatan dialisis yang sering dilakukan iaitu hemodialisis dan dialisis peritoneal. Dalam rawatan hemodialisis, pesakit perlu menjalani prosedur apabila dua jarum dicucuk pada lengan pesakit untuk mengalirkan darah kepada satu alat penapis iaitu ‘dializer’ yang berfungsi sebagai buah pinggang tiruan bagi menapis keluar bahan kumuhan serta air berlebihan. Darah yang bersih disalurkan kembali ke dalam badan pesakit. Rawatan ini biasanya dilakukan tiga kali seminggu selama empat jam.

“Rawatan hemodialisis dilakukan di pusat dialisis terpilih dan dipantau doktor. Ia tidak menyakitkan namun memberikan rasa kurang selesa bagi yang baru pertama kali melaluinya,” katanya.

Bagi dialisis peritoneal pula, ia dilakukan dengan memasukkan satu tiub kateter ke dalam abdomen pesakit. Sejenis cecair dimasukkan melalui tiub kateter ke dalam abdomen dan selepas beberapa jam cecair ini akan bertindak menarik keluar bahan kumuh daripada darah dan disalurkan keluar untuk dibuang.

Cecair yang baru akan dimasukkan semula bagi pusingan rawatan seterusnya. Rawatan dialisis peritoneal ini boleh dilakukan dengan selesa di rumah pesakit sebanyak empat hingga enam pusingan rawatan sehari.

“Dalam dialisis ini, darah dicuci di dalam badan pesakit sendiri. Doktor akan melakukan pembedahan dan meletakkan tiub plastik yang dikenali sebagai kateter di dalam

perut untuk membuat laluan. Ketika rawatan, bahagian perut (kaviti peritoneal) secara perlahan akan dipenuhi dengan dialisat (cecair yang perlu ditapis) melalui kateter. Darah akan kekal di dalam arteri dan urat di sepanjang kaviti peritoneal manakala lebihan cecair dan bahan buangan akan dikeluarkan dari dalam darah ke dialisat,” katanya.

Meskipun nampak ringkas dan lebih menyenangkan, namun dialisis peritoneal kurang popular di Malaysia disebabkan pesakit kurang keyakinan melakukannya di rumah. Rawatan juga bergantung kepada kesesuaian fizikal pesakit dan perlu dilakukan setiap hari.

Jelas Dr Ng Eng Khim lagi, pesakit yang menjalani rawatan dialisis sama ada hemodialisis atau peritoneal mungkin merasai ketidakselesaan terutamanya ketika jarum dimasukkan ke dalam fistula atau graft.

Cuma bagi sesetengah pesakit mungkin akan mengalami penurunan tekanan darah, perut tidak selesa, muntah, sakit kepala atau kejang. Masalah ini akan hilang selepas beberapa kali rawatan. Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa termasuk bekerja.

“Rawatan dialisis sama ada hemodialisis atau peritoneal tidak menyakitkan. Cuma untuk kali pertama saja pesakit mungkin akan mengalami muntah atau pening. Selepas itu apabila sudah terbiasa, badan akan mula menerimanya dan pesakit tidak lagi mengalami apa-apa masalah,” katanya.

Bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggan kronik, mereka perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup melainkan sekiranya pemindahan buah pinggang dilakukan.

Ujarnya lagi, jangka hayat seorang pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis pula tidak dapat ditentukan dan ia bergantung kepada tahap kesihatan individu. Sekiranya mereka menjaga pemakanan dan melakukan dialisis secara rutin, ada pesakit yang kekal hidup sihat.

PUNCA SAKIT BUAH PINGGANG KRONIK

Jelas Dr Ng, untuk mencapai ke tahap penyakit buah pinggang kronik mengambil masa yang lama. Walaupun tidak menunjukkan sebarang tanda, pesakit yang mengalami diabetes dan darah tinggi disarankan menjalani pemeriksaan berkala bagi menentukan tahap kesihatan mereka.

Ini kerana sekiranya tiada kawalan pemakanan dan penjagaan kesihatan, dikhuatiri diabetes menyebabkan kegagalan buah pinggang. Selain itu, mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh yang lama turut menjadi penyumbang kepada masalah kegagalan buah pinggang kronik dan juga batu karang.

“Oleh itu, saya sering menyarankan kepada pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi supaya menjaga pemakanan dan melakukan senaman ringan. Untuk wanita pula, mereka tidak digalakkan hamil kerana ia akan mengganggu fungsi buah pinggang.

“Ada banyak isu yang harus ditangani kerana kehamilan akan membahayakan nyawa ibu dan janin dalam kandungan. Kemungkinan ada yang mengalami keguguran atau bersalin awal. Namun sekiranya kehamilan berlaku, pesakit perlu melakukan pemeriksaan di hospital dan mengikut semua nasihat yang diberikan doktor,” katanya.

Bagi yang mempunyai sejarah keluarga menghidap sakit buah pinggang, mereka perlu menjalani ujian saringan bagi mengesan sebarang keganjilan pada buah pinggang mereka. Elakkan mengambil makanan tambahan atau produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia atau tanpa nasihat doktor. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:05 PM