MOHD Na'im ketika perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 H/ 2023 M di hadapan PICC. FOTO Ahmad Ukasyah
MOHD Na'im ketika perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 H/ 2023 M di hadapan PICC. FOTO Ahmad Ukasyah
Sudirman Mohd Tahir


Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar akan bertemu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berhubung klip membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran yang tular sejak minggu lalu.

Mohd Na'im berkata, difahamkan Lee hanya membacakan maksud ayat al-Quran, bertentangan dengan dakwaan yang dibuat terhadap ahli parlimen itu bahawa dia mentafsir ayat itu.

"Saya ditunjukkan video yang mana saya tidak nampak dia sebenarnya menafsir. Apa yang dia buat sebenarnya memetik maksud al-Quran dalam konteks itu," katanya selepas sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menurutnya, penting bagi pihak berkuasa agama di negara ini untuk bersuara dan memainkan peranan mereka sebagai badan induk bagi mengekalkan persepsi yang baik terhadap Islam secara keseluruhan.

Dalam masa sama, beliau mengulangi bahawa kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perpaduan Negara serta pemimpin agama lain dalam usaha merombak dan meningkatkan lebih banyak dialog antara agama melalui Jawatankuasa Keharmonian Antara Agama.

"Jadi untuk perkara ini, kita mengamalkan pendekatan yang harmoni, melibatkan diri, dan memberikan penjelasan. Saya menganggap ini yang Jakim lakukan.

"Insya-Allah, apabila kita mengadakan kerjasama seperti ini dengan orang bukan Islam, kita harap orang bukan Islam dapat menerima agama kita sebagai agama pengasih," katanya.

Menurutnya, Islam tidak boleh dianggap sebagai melampau kerana ia bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad.

Beliau berkata, Rasulullah SAW sentiasa menganjurkan perpaduan dan iktikad baik dalam kalangan umat manusia tanpa mengira warna kulit dan latar belakang agama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 2:57 PM