Sebahagian daripada jemaah menghadiri  ceramah Maulidur Rasul di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Sebahagian daripada jemaah menghadiri ceramah Maulidur Rasul di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Alor Gajah: Umat Islam di negeri ini menyambut Maulidur Rasul, hari ini tanpa perarakan seperti sebelum ini berikutan kerajaan negeri menangguhkan program berskala besar akibat Covid-19.

Bagaimanapun, program ceramah agama berkaitan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW di masjid dan surau tetap diadakan kerana tidak membabitkan perhimpunan besar.

Di Masjid al-Ehsan Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini, ceramah diadakan selepas solat Subuh dengan disampaikan bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Khairuddin Abu Khair dihadiri kira-kira 150 jemaah diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dalam perutusan Maulidur Rasul berkata, umat Islam di negeri ini harus terus berdoa memohon Allah SWT menamatkan pandemik Covid-19.

"Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Ummah Rabbani Negara Aman, marilah kita berdoa agar Allah menganugerahkan kita kestabilan ekonomi, sosial, siasah dan politik di negara kita.

"Kita berdoa agar negara kita di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberikan keamanan dan keberkatan," katanya.

Selain itu, umat Islam juga harus terus berdoa memohon Allah SWT memberikan kesabaran dan ketabahan untuk terus menghadapi cabaran hebat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia sejagat dan baginda Nabi harus menjadi ikutan serta amalan umat Islam yang sayang akan Rasulullah SAW.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dilaporkan berkata, semua majlis dan acara rasmi kerajaan negeri ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa serta merta.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 10:42 AM