MUHAMMAD Afizan (dua kanan) dan Muhamad Syukri (dua kiri) masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana melakukan ugutan jenayah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MUHAMMAD Afizan (dua kanan) dan Muhamad Syukri (dua kiri) masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana melakukan ugutan jenayah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


DUA lelaki terpaksa menyambut Ramadan dan Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu masing-masing.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Noradila Ab Latiff yang bertindak sebagai majistret membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Afizan Zulhilmi Mohd Jamil, 27, dan Muhamad Syukri Muhamad Noor, 45, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Afizan Zulhilmi yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu membakar rumah milik ibunya, Rusilawati Hashim, 55, di Kampung Ladang Sekolah pada 4 petang, 1 April lalu.

Bagi tertuduh, Muhamad Syukri pula, dia yang tidak bekerja didakwa memukul modem TM Internet rumah menggunakan tangan dan merosakkan tombol pintu di sebuah rumah di Chendering, pada 11 pagi, 7 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhammad Afizan Zulhilmi dan Muhamad Syukri masing-masing bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 22 April dan 25 April lalu.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Muhammad Afizan mengamuk meminta duit dan mengugut mahu membakar rumah ibunya sekiranya tiada wang ditinggalkannya untuk membeli makanan.

Manakala, Muhamad Syukri pula mengugut ibunya dengan merosakkan barangan yang ada di dalam rumah gara-gara tidak berpuas hati permintaannya untuk mendapatkan RM100 tidak ditunaikan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:16 PM