BEKAS ahli kumpulan UNIC, Ahmad Fadzli Abd Aziz. FOTO Aziah Azmee
BEKAS ahli kumpulan UNIC, Ahmad Fadzli Abd Aziz. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


Bagi mencari kelainan dalam kariernya, Ahmad Fadzli Abd Aziz atau Fadzli, 35, memilih bekerjasama dengan komposer Omar K dan Ikhwan Fatanna menerusi single berjudul Saudara.

Ia membawa makna tersendiri buat bekas anggota kumpulan UNIC itu kerana ia single pertamanya selepas mengundur diri daripada kumpulan berkenaan pada 1 Januari 2015.

“Ini pengalaman pertama saya bekerja dengan Omar K dan kali pertama tampil dengan single solo.

“Sebelum ini saya banyak buat ‘cover version’ lagu nyanyian orang lain yang dimuat naik dalam YouTube.

“Alhamdulillah, lagu Perfect nyanyian asal Ed Sheeran yang ditukar kepada lagu Sempurna mendapat sambutan hangat daripada peminat,” katanya.

Katanya, apa yang dilakukan juga bertujuan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Global Ehsan Relief Malaysia.

“Saya bekerjasama dengan mereka untuk projek amal dan berfikir bagaimana nak bantu NGO ini supaya dikenali rakyat negara ini.

“Oleh itu, single ini adalah satu strategi tak langsung untuk memperkenalkan Global Ehsan Relief.

“Ia seiring dengan kempen Sedekah Tanpa Duit. Apabila ramai peminat menonton lagu ini, YouTube akan bayar terus royalti kepada tabung Global Ehsan Relief,” katanya.

Fazli berkata, apa yang dilakukan juga menjadi nilai tambah buat kariernya.

“Daripada nyanyian biasa, baiklah kita buat sesuatu untuk saham dunia dan akhirat.

“Idea ini timbul apabila difikirkan pendengar lagu kebanyakannya orang muda. Mereka kebanyakannya tak berduit.

“Jadi, kami buka peluang untuk semua orang supaya bersedekah. Ini adalah bentuk yang difikirkan sesuai,” katanya.

Tontonan di YouTube tidak memerlukan sebarang kos dan peminat boleh berkongsi video ini di Facebook sekali gus membolehkan jumlah tontonan meningkat.

AHMAD Fadzli bantu NGO menerusi single pertama seiring kempen Sedekah Tanpa Duit. FOTO Aziah Azmee
AHMAD Fadzli bantu NGO menerusi single pertama seiring kempen Sedekah Tanpa Duit. FOTO Aziah Azmee

“Daripada sinilah royalti akan diperoleh. Mengenai kerjasama dengan Omar K dan Ikhwan Fatanna pula, kami tetap membayar kos penerbitan sepenuhnya.

“Begitu juga kos untuk membuat video muzik ditanggung sepenuhnya oleh Global Ehsan Relief.

“Saya sendiri pun dah bertekad, apabila menghasilkan single, nak buat yang berkualiti dan bukannya ala kadar,” katanya.

Fadzli mengakui kesesuaian suaranya dengan Omar K dan Ikhwan Fatanna serta berbangga dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.

“Ini percubaan pertama mereka membuat lagu genre dakwah. Saya sekarang lebih terarah kepada muzik positif pop.

“Orang nak anggap ia lagu dakwah atau sebaliknya terpulang kerana saya lebih sukakan konsep, muzik dan akhlak yang positif.

“Berkenaan keuntungan, saya tak mencarinya melalui nyanyian atau royalti lagu. Hasil lagu ini terus disalurkan kepada Global Ehsan Relief,” katanya.

Menurutnya, peluangnya mencari pendapatan disasarkan menerusi sesi ceramah dan motivasi.

“Saya pun banyak buat program dengan Global Ehsan Relief antaranya konsert dan ceramah.

“Kami amalkan konsep menang-menang dan semuanya berpuas hati,” katanya.

Meskipun tiga tahun bergerak solo, Fadzli yang sudah tujuh tahun bergelar pengacara program Assalamualaikum di TV Alhijrah mengakui popularitinya dalam kalangan peminat masih sama seperti dulu.

“Tidak popular sangat, namun tidak juga langsung tiada peminat. Mungkin kerana bantuan TV Alhijrah membuatkan momentum saya kekal sehingga sekarang.

“Saya juga kini fokus pada perniagaan sendiri apabila mengambil alih pengurusan kilang botol dan air mineral di Melaka bersama rakan kongsi.

“Alhamdulillah kami sudah masuk ke pelbagai agensi yang berminat menghasilkan air mineral, air alkali dan sebagainya menggunakan jenama sendiri,” katanya.

Fadzli berkata, dia tetap merindui UNIC dan gembira apabila diundang menjayakan persembahan reunion UNIC di beberapa lokasi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 5:00 AM