BUS On Demand dikenali sebagai Kumpool Kasturi menjadi pengangkutan pengantara untuk ke kawasan bandar raya Melaka.
BUS On Demand dikenali sebagai Kumpool Kasturi menjadi pengangkutan pengantara untuk ke kawasan bandar raya Melaka.

Melaka: Perkhidmatan pengangkutan awam baharu berkonsepkan e-hailing diperkenalkan kerajaan Melaka sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24) pada tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkhidmatan dikenali sebagai Bus On Demand Kumpool Kasturi itu antara inisiatif dibuat untuk mengatasi kesesakan khususnya di Banda Hilir yang menjadi tumpuan ramai.

Beliau berkata, dengan mempunyai 128 checkpoint ia bukan sahaja akan memudahkan rakyat Melaka, tetapi juga pelancong ke destinasi dikehendaki dengan bayaran bermula RM1 hingga RM5.

"Ini adalah usaha kerajaan dalam memperkenalkan sistem pengangkutan awam yang lebih baik buat rakyat dan untuk sektor pelancongan terutama sempena TMM24.

"Adanya perkhidmatan ini, pelancong yang berkunjung ke Melaka, mereka boleh tinggalkan kenderaan di hotel dan menggunakan Bus On Demand kerana ia merangkumi semua terutama di kawasan warisan," katanya pada sidang media selepas Program Menaiki Bus On Demand Kumpool Kasturi dari Taman Rempah ke Kampung Hulu, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Khalil dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar.

Menurut beliau, usaha dilakukan kerajaan negeri itu bukan untuk bersaing dengan operator sedia ada sebaliknya bagi menambah lagi perkhidmatan pengangkutan sedia ada di Melaka.

"Kami tidak berniat bersaing dengan operator sedia ada sebaliknya menambah lagi perkhidmatan yang ada sekarang ini selain memastikan penyuraian trafik menjadi lebih efektif serta1 lancar.

"Malah, perkhidmatan itu kini dalam tempoh percubaan selama sebulan bagi menilai keberkesanannya dengan menggunakan empat coaster dan dua van disetiap zon," katanya.

Hameed berkata, pihaknya kini dalam usaha menambah satu lagi zon laluan Bus On Demand itu selepas hanya tiga zon diberikan kelulusan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Tiga zon itu adalah Zon Bandar Melaka, Zon Batu Berendam dan Zon Ayer Keroh sekiranya diberikan kelulusan untuk Zon Telok Mas bermakna seluruh kawasan bandar Melaka ada perkhidmatan ini sebelum ia diperluaskan ke bandar lain seperti Masjid Tanah, Pulau Sebang, Alor Gajah dan Merlimau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 8:00 AM