FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan bagi pelantikan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kepada orang awam disambut baik pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan pendidik.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, perkara itu adalah wajar untuk mengurangkan beban guru.

"Pelantikan pengawas peperiksaan SPM dan yang berkenaan hendaknya secara profesional, teratur dan memenuhi garis panduan yang perlu diwujudkan.

"Dalam masa sama, satu bentuk latihan intensif dan elaun yang sewajarnya perlu disediakan dengan penuh integriti dan berpatutan.

"Selain itu, etika dan kerahsiaan menjalankan tugas perlu diwajibkan untuk tempoh bersesuaian," katanya kepada Harian Metro.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Adelina Asmawi pula berkata, lebih ramai calon pengawas dapat ditempatkan di dewan peperiksaan.

"Dalam perkara ini, ada pro dan kontra. Pertama, pengawas lebih objektif melaksanakan tugas apabila tiada kaitan dengan bidang tugas kerana mereka bukan guru.

"Sementara itu, guru sekolah tidak terganggu dalam urusan pengajaran dan pembelajaran murid tingkatan lain.

"Keputusan KPM ini juga memberi ruang pekerjaan walaupun secara separuh masa bagi yang memerlukan. Begitu juga dengan guru yang sudah bersara boleh aktif di sekolah menjadi pengawas yang baik kerana berpengalaman luas," katanya.

Menurutnya, keputusan KPM itu berdepan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian.

"Jika membabitkan orang awam, mereka tidak memahami prosedur kerja kerana mereka bukan pendidik dan perlu dilatih.

"Kita juga tidak tahu, mungkin mereka yang memohon itu terdiri daripada ibu bapa atau adik beradik dalam kalangan pelajar dan ada risiko kebocoran kertas jika tidak dipantau dengan baik.

"Seperkara lagi, orang awam ini mungkin tidak dapat menjawab soalan jika ditanya murid ketika peperiksaan berlangsung. Jadi, perlu ada ketua pengawas berintegriti," katanya.

Pesara guru yang juga bekas Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah, Patimah Pateroi berkata, keputusan KPM membolehkan guru sedia ada boleh memberi fokus pada waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Apa yang bagusnya apabila menggunakan khidmat orang awam sebagai pengawas peperiksaan ini adalah jadual cuti guru tidak diganggu.

"Dalam masa sama, guru boleh buat sentuhan yang terakhir kepada pelajar sebelum kertas peperiksaan yang berkaitan selain lebih banyak masa membuat persediaan mengajar di sekolah sekali gus mengurangkan beban guru.

"Perkara ini juga membolehkan orang awam dapat pengalaman baru dalam pengurusan pengawas peperiksaan selain bekas pendidik.

"Namun, dari sudut lain, apa boleh dikatakan adalah orang awam kurang pengalaman dalam pengurusan peperiksaan. Selain, masa yang panjang dalam menjaga peperiksaan memungkinkan wujud rasa bosan kepada pengawas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 4:50 PM