Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni (tiga kanan) memotong kek Hari Malaysia Tahun 2023 pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni (tiga kanan) memotong kek Hari Malaysia Tahun 2023 pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 di Padang Merdeka, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mencapai banyak kejayaan dari segi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperjuangkan dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata beberapa peristiwa penting sudah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dalam memastikan perjanjian penubuhan Malaysia dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah.

"Beberapa kejayaan yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh lebih dua tahun melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah pada tahun lalu mencapai rekod tertinggi dalam sejarah iaitu bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021.

"Peningkatan sebanyak 35.4 peratus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan saya yakin, nilai perdagangan kita akan terus meningkat naik.

"Sabah juga berjaya menarik lebih daripada RM33 bilion pelaburan dan memperoleh hasil RM7 bilion. Ini adalah pencapaian yang tertinggi sejak tercapainya kemerdekaan.

"Usaha ini akan giat dipertingkatkan lagi termasuk mempertingkatkan peluang pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

"Namun kita tidak pernah berpuas hati, malah akan terus membawa pembangunan dan kemajuan termasuk berusaha menyelesaikan isu serta masalah yang dihadapi rakyat sejak sekian lama di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2023 bertempat di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023, Datuk Christina Liew.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 10:09 PM