DATUK Dr Joachim Gunsalam (kiri) memberi penerangan kepentingan suntikan vaksin untuk mengawal penularan COVID-19 kepada penduduk kampung kawasan pedalaman Ranau di Sekolah Kebangsaan Kawiyan hari ini. FOTO Bernama
DATUK Dr Joachim Gunsalam (kiri) memberi penerangan kepentingan suntikan vaksin untuk mengawal penularan COVID-19 kepada penduduk kampung kawasan pedalaman Ranau di Sekolah Kebangsaan Kawiyan hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Ranau: Seramai 14,900 atau 19 peratus daripada 78,000 penduduk Ranau, sebuah daerah di pantai barat utara Sabah, sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu berkata, kira-kira 30 peratus penduduk di daerah tersebut yang terletak lebih kurang 108 kilometer dari Kota Kinabalu serta terkenal sebagai 'rumah' kepada Gunung Kinabalu, telah mendaftar dengan aplikasi MySejahtera dan sedang menunggu giliran untuk menerima vaksin.

"Saya minta supaya penduduk kampung semua tidak mempercayai dakwaan tentang kesan negatif vaksin seperti yang diuar-uar dan ditularkan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana vaksin ini baik untuk kita semua.

"Jumlah mereka yang telah divaksin di daerah ini juga menunjukkan peningkatan baik hasil daripada pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan seperti Program Outreach," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Kawiyan yang mensasarkan 150 dos suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan itu selain mengagihkan bantuan bakul makanan.

Pegawai Pejabat Kesihatan Ranau Dr Fionna Vincent Bizini pula berkata, program itu dijadual diteruskan di kawasan Kaingaran dan Paginatan pada awal bulan depan.

Beliau berkata, Ranau kini memiliki sembilan pusat pemberian vaksin iaitu Dewan Masyarakat Ranau, Klinik Kesihatan di Paginatan, Timbua, Perancangan, Lohan, Kundasang, Bundu Tuhan serta Klinik Ibu dan Anak Ranau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 9:04 PM