Abdullah ketika berucap pada 'Sembang Pemuda Best' di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri, Sungai Abong, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Abdullah ketika berucap pada 'Sembang Pemuda Best' di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri, Sungai Abong, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Badai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang terhenti Melaka dijangka kembali bertiup ke arah Muar melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram seterusnya bergerak ke Parlimen Pulai.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata badai itu sudah menunjukkan petandanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan dijangka akan bergerak pada 9 September ini.

"Sewaktu PRU-15, badai itu hanya sampai di Melaka dan kemudiannya bertukar menjadi angin sepoi-sepoi bahasa sebaik tiba di Muar.

"Sebab itulah kita (PN) kalah sedikit di Parlimen Muar tetapi kali ini kita menjangkakan badai itu kembali bergerak di Simpang Jeram serta Pulai dan seterusnya seluruh negeri ini," katanya ketika berucap di 'Sembang Pemuda Best' di Pejabat Dewan Pemuda PAS Kawasan Bakri, Sungai Abong, malam tadi.

Turut serta dalam program itu ialah Exco Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din, bekas Ahli Parlimen Bachok, Senator Nik Mohd Abduh Nik Aziz serta Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Mohammad Arifiriazul Paijo.

Justeru, Abdullah berkata, dengan senario politik melanda negara ketika ini, beliau yakin PN terutama PAS akan menambah satu lagi kerusi iaitu Simpang Jeram menjadikan keseluruhan empat kerusi DUN.

"Sekarang ini, PN ada tiga kerusi iaitu dua Bersatu manakala satu untuk PAS. Kita nak pastikan tambahan satu lagi kerusi pada 9 September ini untuk dijadikan empat kerusi untuk PN.

"PAS pernah menang empat kerusi DUN di Johor pada PRU-13 iaitu Puteri Wangsa, Parit Yaani, Maharani dan Sungai Abong.

"Sekarang PAS ada DUN Maharani manakala Endau dan Bukit Kepong dimenangi Bersatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:38 AM