TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapan beliau dalam ceramah di Pulai, Johor pada 2 September dipetik di luar konteks.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka memanipulasi ucapan beliau kononnya mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

"Ucapan saya panjang. Saya menyentuh pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini terutama sekali bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH.

"Kerana itu saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada calon PH, Suhaizan Kayat," katanya dalam kenyataan di Facebooknya malam ini.

Menurutnya, beliau tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak bahawa haram mengundi calon PH.

"Saya hanya secara berkias menyebut 'saya bagi hukum haram' dengan tiada niat bahawa ia adalah fatwa hukum syarak.

"(Ini) Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut 'ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.

"Sebagai seorang yang faham hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama," katanya.

Beliau berkata, apatah lagi di negara ini terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan ulama' dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan.

"Saya percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapan saya semasa ceramah terbabit faham maksud saya.

"Berdasarkan respon hadirin pada malam itu saya yakin mereka tidak mengambil kenyataan saya secara serius sebagai suatu fatwa agama.

"Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 8:59 PM