Kereta remuk mengakibatkan dua rakan maut di lokasi. FOTO Ihsan JBPM
Kereta remuk mengakibatkan dua rakan maut di lokasi. FOTO Ihsan JBPM
Shamsul Munir Safini


DUA lelaki maut selepas Perodua Myvi dinaiki merempuh treler di Jalan Kulim berdekatan Machang Bubok, Bukit Mertajam 1.15 tengah hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa pemandu kereta Ho Seng Yew, 29, dan penumpang Cheong Sik Liang, 20, maut di lokasi akibat tersepit berikutan kereta dinaiki remuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah Kulim menghala ke Bukit Mertajam masuk ke lorong bertentangan.

“Kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler yang datang dari arah Bukit Mertajam menghala ke Kulim.

“Pemandu dan penumpang kereta maut di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 36 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:24 PM