GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Sebanyak 927 pemilih terdiri daripada pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, esok.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata terdapat tiga saluran di dua pusat pengundian awal iaitu di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, yang akan dibuka pada 8 pagi.

Beliau berkata tiada alasan bagi mana-mana pegawai atau anggota untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Justeru, semua warga PDRM yang terlibat perlu melaksanakan hak sebagai pengundi dalam proses demokrasi ini.

"Seramai 927 pegawai dan anggota akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi esok.

"Kesemua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pengundian awal ini disarankan agar melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berhemah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

PRK tersebut diadakan disebabkan kekosongan luar jangka selepas kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi Dun Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi berkenaan pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 10:18 PM