BANJIR kilat di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air. FOTO Ihsan ADUN Komtar
BANJIR kilat di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air. FOTO Ihsan ADUN Komtar
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) antara kawasan yang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan beberapa premis dimasuki air dan kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan juga hampir tenggelam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng berkata, kejadian berkenaan berlaku sekitar jam 11 pagi namun surut kira-kira 15 minit kemudian.

Katanya, banjir kilat itu hanya membabitkan Jalan Penang manakala lain-lain lokasi tidak terjejas.

"Kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kerosakan serius dan air surut tidak lama kemudian.

"Saya percaya hujan yang lebat sejak pagi tadi menyebabkan longkang sedia ada tidak dapat menampung air," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Di lokasi berkenaan juga turut gempar dengan penemuan ular sawa kira-kira tiga meter panjang dan berjaya ditangkap orang awam.

Turut dilaporkan satu kejadian pokok tumbang di Jalan Gurdwara, di sini yang menghempap sebuah kereta di petak parkir.

Tinjauan mendapati Jalan Macalister, Jalan Siam dan Jalan Anson turut dinaiki banjir kilat menyebabkan trafik bergerak perlahan pada waktu puncak.

Bilik Gerakan Balai Bomba Jalan Perak ketika dihubungi mengesahkan setakat ini menerima satu panggilan berhubung banjir kilat di kawasan Jelutong.

Sementara itu menerusi perkongsian warganet di laman sosial Facebook turut memaklumkan beberapa lokasi sekitar Tanjung Tokong dan Bandar Baru Farlim, Air Itam turut dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 2:27 PM