Munirah Abdul Hamid
Munirah Abdul Hamid
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Pengasas Soup Kitchen, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) Datuk Munirah Abdul Hamid meninggal dunia di rumahnya di Bangsar, di sini, awal pagi ini.

Perkara itu disahkan keluarga beliau di laman Facebook milik arwah.

"Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan Ibunda kami Hajjah Datuk Munirah Abdul Hamid telah kembali ke Rahmatullah pada jam 4am pada tarikh 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445, di rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur," katanya.

Bagaimanapun, punca kematian Munirah yang berusia 70 tahun masih belum diketahui.

Sementara itu, Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut berkongsi di media sosial mengenai kematian adik bongsu ibunya.

"Jenazah akan dipersiapkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada jam 11.30am (pagi) diikuti solat jenazah dan pengebumian di Tanah Perkuburan Bukit Kiara," katanya.

Munirah mendapat idea menubuhkan Soup Kitchen daripada seorang rakannya yang sakit tenat sekitar 2009.

Setiap minggu Munirah turun ke jalanan untuk memberi makan dan menjaga kira-kira 800 gelandangan serta kutu rayau.

Ketika pandemik Covid-19 mxelanda sekitar 2019-2021, Munirah masih memikirkan nasib gelandangan dan mendapat ilham meneruskan aktiviti Soup Kitchen dengan mengambilalih dapur restoran yang belum kembali beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 11:51 AM