Fura Saedin menunjukkan kecederaan dialami ayahnya selepas kediaman warga emas berkenaan dimasuki penjenayah. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Fura Saedin menunjukkan kecederaan dialami ayahnya selepas kediaman warga emas berkenaan dimasuki penjenayah. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Dipukul bertubi-tubi dengan kayu pada bahagian tangan dan kaki, seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas dalam kejadian samun bersenjata di Kampung Gemuruh di sini kira -kira jam 3 pagi 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu mangsa, Saedin Abdul Hamid, 77, turut mengalami kecederaan dibahagian kepala selepas cuba melawan penjenayah sebelum tangan dan kakinya diikat.

Menurut bekas tentera itu, ketika kejadian hanya dia dan isteri Noriah Rose,77, berada di rumah sebelum lima lelaki disyaki warganegara asing bertopeng dan bersenjatakan parang serta kayu menceroboh kediamannya dengan masuk melalui tingkap di bahagian dapur.

"Sebelum kejadian, isteri beritahu terdengar seperti orang buka tingkap kemudian semasa saya hendak ke bilik air tengok sekeliling namun tidak kelihatan apa-apa.

"Sehinggalah saya ternampak seseorang sedang berjalan ketika berada dalam bilik tidur.

"Beberapa orang lelaki kemudian meluru ke arah saya lalu memukul bertubi-tubi, sebelum mereka meminta wang hasil jualan ternakan lembu dan kambing sambil mengacu parang dileher saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya hari ini.

Saedin berkata dia mengesyaki penjenayah itu salah rumah berikutan dia tidak menternak lembu dan kambing sebaliknya saudara yang juga jirannya menternak haiwan ternakan itu.

Katanya ketika kejadian isterinya yang berada di bilik sebelah dibawa ke ruang hadapan rumah namun tidak diikat tetapi diarahkan untuk tidak membuat bising sementara mereka mengeledah rumah.

"Ada pintu bilik yang berkunci dipecahkan menggunakan tong gas, habis barang berharga milik anak kami dilarikan termasuklah

wang tunai isteri berjumlah RM6,500 dan barang kemas berupa cincin serta rantai bernilai kira-kira RM26,000," katanya.

Katanya, selepas kesemua penjenayah itu melarikan diri, kira-kira jam 4 pagi dia yang dalam kesakitan terus memandu kereta ditemani isterinya ke rumah anak keduanya di Taman Wira Jaya yang terletak dua kilometer dari rumahnya.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan bersyukur tiada anggota badannya patah namun dimaklumkan oleh pegawai perubatan lebam anggota badannya terutama pada kaki kanannya disyaki dipukul lebih kurang 14 kali dengan objek tumpul.

Laporan polis dibuat pada kira-kira jam 8.13 pagi di Balai Polis Melang.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:32 PM