STARLINK kedua dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah. FOTO Facebook Fahmi Fadzil
STARLINK kedua dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah. FOTO Facebook Fahmi Fadzil
BERNAMA

Kuala Lumpur: Unit peranti satelit Starlink kedua telah dipasang di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah dekat sini pagi ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, kawasan berkenaan merupakan kampung Orang Asli pertama dipilih untuk pemasangan Starlink sekali gus menjadikannya lokasi kedua selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah, Negeri Sembilan, bulan lalu.

Dalam hantaran itu, beliau berkata, kualiti Internet sedia ada di kampung Orang Asli berkenaan sangat teruk, malah hampir tiada walaupun terdapat 135 penduduk tinggal di kawasan tersebut.

"Matlamat saya masih sama iaitu memastikan baki tiga peratus kawasan berpenduduk yang masih tiada Internet diberi keutamaan," katanya dalam hantaran itu.

Pada masa ini kira-kira 97 peratus kawasan berpenduduk telah mempunyai akses Internet.

Dalam hantaran itu, Fahmi berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membuat kajian tambahan bagi penyelesaian jangka panjang termasuk pembinaan menara dan pemasangan gentian optik.

"Semoga perkhidmatan Internet ini memberi sinar baharu kepada penduduk setempat," katanya.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di institusi pengajian tinggi untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet supaya lebih meluas dan pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran.

Anwar berkata perkara itu tercetus hasil persidangan video secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX Elon Musk baru-baru ini.

Berita penuh:

Internet Starlink akan mula di IPT, sekolah

UiTM Kuala Pilah yang pertama terima peranti satelit Starlink

Starlink akan manfaatkan perkembangan IoT di Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 12:50 PM