TIMBALAN Pengarah Jabatan Pembangunan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulhelmi Ab Hamid (kiri) memasang piring satelit Starlink di UiTM Kuala Pilah hari ini. FOTO Bernama.
TIMBALAN Pengarah Jabatan Pembangunan Standard Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zulhelmi Ab Hamid (kiri) memasang piring satelit Starlink di UiTM Kuala Pilah hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Jempol: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Peranti itu akan digunakan UiTM kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan menjadikannya institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.

Ia diserahkan Perdana Menteri kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi di reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sempena Karnival Segalanya Felda Peringkat Felda Wilayah Raja Alias di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bercadang memasang 40 peranti satelit Starlink di IPT bagi membantu menaik taraf capaian Internet lebih baik di kampus.

Cadangan itu tercetus hasil persidangan video Perdana Menteri secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, 14 Julai lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata IPT diberi keutamaan oleh kerajaan selepas menerima aduan daripada pelajar hasil lawatan beliau ke beberapa buah universiti di seluruh negara.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian itu, Fahmi berkata peranti berkenaan merupakan langkah penyelesaian sementara sebelum satu penyelesaian jangka panjang dikemukakan.

"Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan unit pertama Starlink kepada UiTM Kuala Pilah sebagai bukti konsep usaha untuk menyelesaikan masalah Internet dihadapi pelajar-pelajar di dewan kuliah.

Pada masa yang sama saya difahamkan pihak UiTM juga sedang menunggu peruntukan untuk menyelesaikan masalah titik capaian wifi di sekitar kampus yang perlu dipasang penghala wifi. Ini mengambil masa jadi sementara waktu kita akan gunakan Starlink," katanya.

Katanya, pihak kementerian juga akan mendapatkan maklum balas daripada pihak UiTM terbabit bagi menilai keserasian dan kesesuaian pelaksanaan Starlink sebagai langkah penyelesaian interim.

Selain itu, Fahmi berkata beliau juga akan berhubung dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan perkhidmatan Internet satelit bagi menyelesaikan masalah kesalinghubungan khususnya di kawasan pedalaman.

"Ini adalah bagi mengenal pasti lokasi sama ada klinik kesihatan, sekolah ataupun kawasan desa yang mungkin memerlukan perkhidmatan Internet satelit yang dapat membantu menyelesaikan masalah Internet terutama di kawasan pedalaman atau kawasan yang geografinya menyukarkan pembinaan sama ada menara telekomunikasi ataupun pemasangan gentian optik.

"Ini kita lihat sebagai salah satu penyelesaian di peringkat komuniti, Starlink dan Internet satelit bukan penyelesaian individu ia penyelesaian komuniti jadi saya harap usaha ini dapat sokongan dari pelbagai pihak.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberi jaminan bahawa MCMC akan mempertingkatkan program bersama penyedia perkhidmatan Internet satelit yang beroperasi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 8:55 PM