UNIT Mobile JPN memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
UNIT Mobile JPN memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Mereka adalah ‘hero’ tidak didendang kerana jasa dan pengorbanan dilakukan membantu ramai rakyat negara ini yang mengalami kesukaran untuk hadir ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Meskipun kekuatan mereka cuma 16 orang, pegawai Unit Perkhidmatan Operasi JPN atau turut dikenali sebagai Unit Mobile JPN, sanggup turun padang bagi menguruskan permohonan daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit mental dan individu mengalami masalah kesihatan serius.

Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN Badrulhisham Alias berkata, antara perkhidmatan yang disediakan unit itu adalah permohonan kali pertama kad pengenalan, penggantian biasa, penukaran alamat, gantian hilang, MyKad rosak, sijil kelahiran, pengesahan kematian, gantian Mykid, permohonan kali pertama Mykid dan pendaftaran lewat kelahiran.

“Kami memahami kekangan golongan berkenaan ini termasuk banduan serta tahanan dibawah kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang memerlukan khidmat JPN hingga ke ‘muka pintu’. Usaha ini dilakukan menerusi Program Mobile Ehsan.

“Pegawai kami akan lihat keperluan mereka sama ada permohonan MyKad, penggantian, daftar lewat atau kes lain, kemudian diikuti prosedur memproses permohonan termasuk mengambil cap jari,” katanya.

Menurutnya, pelbagai cabaran dan risiko diharungi unit ini antaranya meredah hutan, melepasi lokasi berbahaya dan ke kawasan pedalaman untuk membantu golongan sasaran memerlukan perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, di sebalik semua halangan itu pegawai unit berkenaan berasa seronok kerana dapat membantu pemohon yang kurang bernasib baik termasuk OKU lumpuh dan pesakit terlantar.

PERKHIDMATAN kesihatan kepada warga emas
PERKHIDMATAN kesihatan kepada warga emas

“Masalah kesihatan atau tinggal jauh di pedalaman menyebabkan pemohon tidak dapat ke kaunter JPN, berikutan itu ada dalam kalangan mereka masih menggunakan kad pengenalan lama, jadi kami tampil membantu,” katanya.

Badrulhisham berkata, kebiasaannya hospital, penjara atau orang persendirian akan menghubungi JPN sebelum unit itu digerakkan ke lokasi berkenaan.

Jelasnya, bagi menjayakan Program Mobile Ehsan JPN bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, katanya, JPN turut menjalinkan kerjasama dengan badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)seperti Anjung Singgah, bagi membantu golongan sasaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:42 AM