GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Seorang lelaki cedera di bahagian kaki kiri selepas terkena tembakan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Telosan, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian jam 5.45 pagi.

Katanya, mangsa berusia 27 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan.

"Dalam kejadian awal pagi itu, mangsa bersama beberapa kenalan pergi ke lokasi untuk membaiki kereta.

"Ketika mangsa sampai, kereta jenis Perodua Alza warna putih yang dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali berhenti di hadapan rumah di mana mangsa berada dan salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa dan beberapa rakan," katanya dalam kenyataan kepada media.

Zaizul berkata, sebaik melepaskan tembakan, suspek bertindak melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Katanya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan susulan.

Sementara itu, salah seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia terdengar tiga das tembakan ketika sedang tidur.

Namun, dia tidak mengendahkan bunyi itu kerana beranggapan tidak ada apa-apa yang berlaku.

"Tapi ketika saya bangun untuk tunaikan solat Subuh, saya lihat rumah berdekatan saya didatangi kereta polis dan dimaklumkan ada kes tembakan berlaku di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 11:58 PM