Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Pembantu kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa dengan meluluskan pengeluaran dana kebajikan kesatuan untuk kegunaan peribadi hampir RM200,000.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Ogos ini dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Sukri di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 50-an dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, kira-kira 9.15 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan lelaki terbabit yang juga bendahari kesatuan di PBT itu kerana dipercayai melakukan perbuatan berkenaan bermula 2017 hingga 2020 membabitkan lebih 30 transaksi.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu kira-kira 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:07 PM
SEORANG pembantu kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di tahan reman selama lima hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi siasatan menyalahguna kuasa. FOTO Faizul Azlan Razak
SEORANG pembantu kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di tahan reman selama lima hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi siasatan menyalahguna kuasa. FOTO Faizul Azlan Razak