Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Pengurus jabatan Kerajaan Persekutuan di sini direman tujuh hari susulan kes menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri.

Perintah tahanan reman lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek direman sehingga Ahad depan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Pengurus itu ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri pada 4.50 petang.

Dia didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan sekitar tahun 2019 hingga 2022.

Difahamkan suapan diambil kira-kira RM1,500 hingga RM6,000 bagi setiap perolehan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:49 PM
PENGURUS jabatan kerajaan Persekutuan yang direman tujuh hari untuk siasatan salah guna jawatan untuk mendapatkan suapan. FOTO Ghazali Kori.
PENGURUS jabatan kerajaan Persekutuan yang direman tujuh hari untuk siasatan salah guna jawatan untuk mendapatkan suapan. FOTO Ghazali Kori.