MAHFUZ (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Nor Hafizah. FOTO Nor Farhani Che Ad.
MAHFUZ (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Nor Hafizah. FOTO Nor Farhani Che Ad.
Nor Farhani Che Ad


“ALHAMDULILLAH, saya lega dan syukur terima bantuan ini. Dapatlah saya teruskan kehidupan bersama anak yang masih kecil,” kata Nor Hafizah Abdul Ghaffar, 35.

Dia isteri kepada juruhebah Radio Malaysia Kedahfm, Mohd Rizal Ismail yang meninggal dunia akibat angin ahmar di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Ahad lalu.

Nor Hafizah menerima Faedah Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) RM2,000 selain Pencen Penakat secara bulanan.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar di rumah ibu mentuanya di Taman Peruda, Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Kedah Shaharuddin Waled.

Nor Hafizah berkata, sebelum ini dia buntu memikirkan nasib diri dan anaknya, Nurul Qays Danisha, 5, selepas kematian suami memandangkan dia tidak bekerja.

Katanya, dia juga tidak mengetahui arwah pencarum PERKESO yang melayakkannya menerima faedah, sehingga dimaklumkan wakil agensi itu.

Sementara itu, Mahfuz berkata, balu arwah Mohd Rizal dan anak mereka akan menerima Faedah Pencen Penakat secara bulanan yang dijangka bermula pada Mac depan.

“Arwah adalah pencarum PERKESO sejak Jun 2013 selepas kerajaan mewartakan caruman wajib dibayar kepada pekerja awam sama ada berstatus kontrak atau sementara.

“Jadi, isteri arwah layak terima pencen ini dan anaknya menerima pencen sama sehingga berusia 21 tahun atau menghabiskan pengajian ijazah pertama,” katanya.

Berita berkaitan

Juruhebah Kedahfm meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 5:05 PM