Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Remaja lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah ambulans di Kilometer (KM) 40 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 6.15 petang, Muhammad Afnan Afiq Sukran, 19, maut di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan kereta dan pemandu ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalami cedera ringan.

Tiga penumpang ambulans masing-masing dua jururawat serta seorang pesakit tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Gua Musang dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan ambulans yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu ambulans cedera di kaki dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:52 PM