GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Lebih separuh daripada pengundi yang mengundi Umno menerusi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu, berisiko berpindah kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Ia berdasarkan dapatan kajian Ilham Centre membabitkan 2,304 pengundi di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu ketika tempoh kempen antara 29 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Panel Penyelidikan Ilham Centre diketuai Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar, berkata kajian itu mendapati sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi Umno pada PRU-15, yang berpindah mengundi PN dalam PRN esok.

Katanya, situasi itu antara lain disebabkan tiga faktor, khususnya rasa tidak puas hati dalam kalangan hampir semua akar umbi terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Faktor lain adalah masih ramai ahli Umno sukar menerima kerjasama dengan PH, kerana faktor DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain wujud elemen 'cah keting' kerana calon yang dipilih tidak selari dengan kehendak Umno Bahagian tertentu, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

"Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli akar umbi Umno menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden Umno, menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN, selain sebahagian besar agak pasif dan dalam mod tunggu dan lihat.

"Ahli Umno, termasuk jentera juga mengakui masih sukar menerima PH kerana DAP, dan sebahagiannya kerana Anwar.

"Ahli Umno juga berkemungkinan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor lebih dekat dengan PAS kesan kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang lalu.

"Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi Dun ditandingi PH, tiada logo berkenaan lagi, selain mereka takut disindir oleh orang PAS yang mengatakan orang Umno-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ilham Centre turut sangsi dengan keupayaan Umno menarik sokongan orang Melayu dalam PRN kali ini, sekali gus tidak mampu membantu Kerajaan Perpaduan merampas tiga negeri yang ditadbir PN.

"Dengan situasi pasca PRU-15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman Umno yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana dalam kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini," katanya.

Dalam PRU-15 tahun lalu, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu, disusuli BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).

Sementara itu, Panel Penyelidikan Ilham Centre turut mendapati majoriti sokongan 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun masih kekal bersama PN seperti PRU-15 yang lalu, dengan pelbagai usaha Kerajaan Perpaduan dilihat belum cukup menarik minat anak muda untuk mengubah sokongan.

Katanya, kajian mendalam yang dilakukan kepada kelompok itu mendapati tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Seperti sebelum ini, mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik secara terbuka, malah kini lebih jelas menunjukkan pendirian politik masing-masing.

"Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 5:55 PM