Muhammad Yusri Muzamir

Tasek Gelugor: Tindakan Dr P Ramasamy keluar DAP diakui memberi kesan kepada pola pengundian terutama masyarakat India pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Sabtu ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow merayu agar bekas Timbalan Ketua Menteri II itu mempertimbangkan semula keputusan beliau meninggalkan parti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu juga tidak menolak kemungkinan berlaku undian protes dalam kalangan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, terutama penyokong Ramasamy.

"Saya memang sudah dimaklumkan oleh Ramasamy (mengenai hasrat beliau keluar DAP) sebelum ini. Walaupun (beliau) boleh terima keputusan pemilihan calon dan tidak bertanding (pada PRN) kali ini.

"Namun, beliau tidak berpuas hati mengenai bagaimana proses ini diuruskan. Pihak terbabit hanya dimaklumkan ketika pengumuman calon dibuat tempoh hari.

"Ini menyebabkan dia membuat keputusan (untuk keluar DAP), walaupun saya cuba memujuk (supaya tidak berbuat demikian). Pada perjumpaan sebelum ini, beliau hanya cakap mulut saja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

RAMASAMY mengumumkan keluar DAP pada sidang media di Pusat Operasi Calon Bebas Perai, Taman Chai Leng Park hari ini. FOTO Mikail Ong
RAMASAMY mengumumkan keluar DAP pada sidang media di Pusat Operasi Calon Bebas Perai, Taman Chai Leng Park hari ini. FOTO Mikail Ong

Terdahulu, Ramasamy mengumumkan melepaskan semua jawatan dalam DAP dan keluar parti itu, dengan surat bagi tujuan itu sudah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Kon Yeow, masing-masing pada jam 8.24 dan 8.25 pagi tadi.

Selain Ramasamy, bekas Adun Sabai merangkap Naib Pengerusi DAP Pahang D Kamache; Naib Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), K Jason Raj dan Ahli DAP Cawangan Taman Inderawasih, K Krishnasamy turut mengumumkan keluar daripada parti itu.

Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selepas menang di Parlimen Batu Kawan dan DUN Perai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), pada 2008 dan berkhidmat sebagai wakil rakyat di Perai selama 15 tahun.

Sementara itu, Kon Yeow turut menghargai jasa dan khidmat Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang kepada kerajaan negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan negeri dan jawatankuasa lain sejak 2008.

"Saya rasa semua orang pun tahu punca sebenar keputusan Ramasamy meninggalkan DAP. Beliau memang tidak berpuas hati apabila cadangan jawatankuasa negeri (mengenai pemilihan calon bagi PRN Pulau Pinang) tidak dipertimbangkan.

"Bagaimanapun, saya ucapkan penghargaan bagi perkhidmatan beliau kepada kerajaan negeri selama 15 tahun dan sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu serta lain-lain jawatan dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 3:32 PM