Kejadian yang meragut nyawa Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan Nik Amirah Ab Rahman, 40 dan seorang anak, Nik Aishah Azzahra, 5 di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas. FOTO ARKIB NSTP
Kejadian yang meragut nyawa Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan Nik Amirah Ab Rahman, 40 dan seorang anak, Nik Aishah Azzahra, 5 di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas. FOTO ARKIB NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan dua beradik yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tragedi kereta dihempap pokok tumbang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, kelmarin.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berjumpa dengan dua beradik itu.

Katanya, JKM akan memberi laporan keperluan dua beradik berkenaan termasuk keperluan khidmat kaunseling.

"Kes sudah dalam tindakan JKM untuk mendapatkan apa-apa keperluan sepatutnya yang boleh dihulurkan.

"Dalam kejadian sebegini tidak ada siapa yang akan diabaikan. Dari sudut JKM dan kementerian bukan sifat kebendaan sahaja yang akan diberikan, tetapi juga psikososial termasuk memberikan kaunseling," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Himpunan Wanita Perpaduan di sini, hari ini yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Media sebelum ini melaporkan, tiga maut, dua cedera dan lima selamat selepas pokok tumbang menghempap dua kenderaan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, 8.04 malam kelmarin.

Mangsa maut adalah, Nik Amirah Ab Rahman, 40, suami, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44 dan anak, Nik Aishah Azzahra, 5 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:00 PM