LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer (KM) 12.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari arah Shah ke Putrajaya, dekat Subang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer (KM) 12.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari arah Shah ke Putrajaya, dekat Subang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lari sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 12.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari arah Shah Alam ke Putrajaya, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 5.12 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila motosikal jenis SYM yang ditunggang mangsa berusia 29 tahun berada di lorong kiri sebelum disyaki dilanggar kenderaan tidak pasti dari arah belakang.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 2:02 PM