FADHLINA (tengah) ketika sidang media selepas Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Noorazura Abdul Rahman
FADHLINA (tengah) ketika sidang media selepas Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Projek rintis sekolah baharu untuk golongan termiskin di negara ini dijangka dapat dilaksanakan seawal tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementeriannya akan berusaha merealisasikan konsep yang membabitkan mekanisme khusus itu benar-benar berjaya.

Katanya, kementeriannya akan berusaha memastikan projek sekolah rintis berkenaan dibuka menjelang tahun depan.

"Disebabkan sekolah ini adalah program khas, mesti ada hala tuju, kaedah dan mekanisme jelas untuk memastikannya benar-benar berjaya. Apabila disebut sebagai khusus untuk anak miskin, pendekatannya juga pasti ada sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya.

"Sebenarnya sekolah untuk anak-anak miskin ini memang sentiasa dalam perancangan dan kita akan maklumkan sedikit masa lagi untuk pastikan sekolah ini benar-benar siap untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berhasrat memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini.

Katanya, pelaksanaan jenis sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.

Sementara itu Fadhlina berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sentiasa mencari jalan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan SDH di hospital-hospital seluruh negara.

Setakat ini terdapat 17 SDH di seluruh negara yang bertujuan menyediakan pusat pembelajaran kondusif, bagi murid yang sedang menerima rawatan di hospital berunsurkan didik hibur dan fleksibel dalam persekitaran kondusif.

"KPM dan KKM sentiasa berbincang namun antara isunya adalah ruang di hospital untuk kita laksanakan SDH ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 1:47 PM