Pelanggan menikmati set menu rahmah yang ditawarkan di BTC Bistro Inanam hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Pelanggan menikmati set menu rahmah yang ditawarkan di BTC Bistro Inanam hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu menjadi kerangka ekonomi dan sebuah wawasan bagi membina Malaysia lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Ia menggariskan dua fokus utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, akan menyasar untuk 'Menaikkan Siling' dan 'Menaikkan Lantai'.

Menurutnya, 'Menaikkan Siling' ialah usaha menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat mengecapi lebih kekayaan.

"Penstrukturan ini termasuk menganjak ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi yang lebih global dan kompleks, sekali gus menempatkan Malaysia menjadi hab serantau, mencipta lebih banyak juara rantauan Malaysia. Di samping menjamin sekuriti serta kemampanan model ekonomi negara.

"Manakala 'Menaikkan Lantai' merujuk kepada membawa erti mengutamakan keadilan sosial bagi memastikan kekayaan yang dikecapi dapat dikongsi rakyat secara lebih saksama," katanya ketika ke udara melalui saluran radio, Kool FM, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam rangka ekonomi itu ada beberapa penanda aras jangka sederhana untuk dicapai.

"Pertama, menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan ketika ini berada pada tangga 37.

"Penanda aras kedua meningkatkan Indeks Daya Saing Global Malaysia kepada tangga ke-12 teratas dunia dan mahu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada enam peratus daripada purata 4.7 peratus ketika ini," katanya.

Jelasnya, berdasarkan angka itu akan membantu Malaysia bertambah dari segi keupayaan ekonomi dan pencapaian dalam semua aspek meningkat.

Ahmad berkata, satu aspek mendapat perhatian ramai termasuk media selepas pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat ialah tawaran kredit e-tunai RM100 yang dijangka disalurkan pada suku ke-empat tahun ini.

"Bantuan ini khusus kepada semua rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

"Dianggar lebih 10 juta rakyat terdiri daripada B40 dan M40 mendapat manfaat bantuan ini membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion," katanya.

Beliau berkata, rasional inisiatif itu membantu penerima mengatasi cabaran kos sara hidup.

Sebagai contoh katanya, wang berkenaan boleh digunakan untuk perbelanjaan dapur, pendidikan anak dan sebagainya.

"Langkah ini bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi dalam talian yang semakin berleluasa kini.

"Wang diberikan kerajaan akan menghasilkan kesan pengganda, ataupun 'multiplier effect kepada ekonomi negara. Apabila rakyat tingkatkan perbelanjaan, ia akan meningkatkan kitaran wang di dalam ekonomi dan jadi pemangkin pertumbuhan negara.

"Dengan kata lain, peruntukan RM1 bilion daripada kerajaan menjana aktiviti ekonomi beberapa kali ganda jumlah ini dan membawa limpahan kesan ekonomi, ataupun economic spillover effect serta memanfaatkan rakyat," katanya.

Mengenai inisiatif penting kerajaan Madani di bawah Belanjawan 2023 Ahmad berkata, kerajaan memperkenalkan konsep Payung Rahmah merangkumi beberapa komponen bertujuan membantu golongan susah dan rentan.

"Komponen pertama ialah Program Menu Rahmah iaitu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik terdiri daripada pengusaha kedai makanan (bermasak), Persatuan Pengusaha Restoran dan Gerai Makanan secara sukarela.

"Di bawah program ini, harga satu hidangan makanan dijual tidak melebihi RM5. Setakat 30 Jun lalu, 2,922 kedai makan di seluruh negara mengambil bahagian dalam program berkenaan," katanya.

Ahmad berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjadi antara inisiatif di bawah Kerajaan Perpaduan yang mendapat sambutan hangat masyarakat.

Jelasnya, ia program sumbangan tunai untuk golongan B40 di bawah Kementerian Kewangan yang bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

"Program STR memberi impak tinggi kepada golongan B40 dalam merancakkan ekonomi melalui aktiviti perbelanjaan.

"Setakat ini, hampir sembilan juta penerima STR sudah diluluskan membabitkan tiga kategori. Pertama kategori isi rumah, kategori kedua warga emas bujang atau tiada pasangan, manakala kategori ketiga pula orang bujang.

"Jumlah peruntukan keseluruhan STR bagi 2023 ialah RM8 bilion. Kadar bayaran diterima penerima yang layak antara RM350 sehingga RM3,100 mengikut kategori kelayakan masing-masing," katanya.

Katanya lagi, pendekatan STR 2023 lebih menumpukan golongan miskin tegar dengan bantuan tambahan RM600 kepada penerima isi rumah STR.

Ini bermakna penerima STR kategori ini layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,100.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 8:00 AM