Adam Adli.
Adam Adli.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Program Agrobelia Lestari mampu mencipta lebih banyak peluang pendapatan dan

meneroka potensi lebih meluas dalam kalangan belia Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan belia yang dikategorikan sebagai tercicir pekerjaan, pendidikan atau latihan (NEET).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, ia bukan saja

mendedahkan golongan belia kepada bidang pertanian bersifat konvensional, namun memberikan pengetahuan pertanian berpaksikan perkembangan semasa termasuk teknologi fertigasi tanaman, adaptasi teknologi dron dan 'Internet of Things' (IoT).

Menurutnya, melalui program ini belia akan didedahkan dengan pelbagai projek pertanian yang menjadi alternatif untuk menyelesaikan cabaran bekalan makanan negara serta kos sara hidup.

Katanya, ia sebagai satu kitaran penting dalam menilai sumbangan penting petani muda dalam pembangunan lestari.

"KBS mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan

Keterjaminan Makanan atas khidmat nasihat, perkongsian kepakaran, sumber dan kemudahan

dalam membantu menjayakan program ini, "katanya ketika berucap merasmikan Seminar Agrobelia Lestari 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

Program Agro Belia Lestari dilaksanakan bermula Julai lalu sehingga November ini dan setakat ini KBS

menerima permohonan penyertaan 50 persatuan belia membabitkan 200 peserta.

Ia bertujuan membantu dan memacu pembangunan belia khususnya dalam usaha menjana pendapatan melalui bidang pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 4:36 PM