PKPB berharap Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan inisiatif membantu golongan belia tercicir. FOTO arkib NSTP
PKPB berharap Kementerian Sumber Manusia dapat menyediakan inisiatif membantu golongan belia tercicir. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid; Suraya Roslan; Muhaamad Hafis Nawawi; dan Yusmizal Dollah Aling


PERTUBUHAN Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) berharap Kementerian Sumber Manusia dapat segera menyediakan pelbagai inisiatif membantu golongan belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan dan latihan formal (NEET).

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, inisiatif itu berbentuk geran atau bantuan pendanaan percuma dan pendidikan/latihan kemahiran tidak formal kepada golongan ini.

Menurutnya, langkah segera itu amat mustahak dilaksanakan dalam membantu golongan NEET yang sememangnya terkesan dengan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini.

“Bertepatan dengan pembentukan Kabinet yang baharu ini PKPB mengharapkan agar Kementerian Sumber Manusia dapat segera menyediakan inisiatif itu.

“Golongan NEET dikenali sebagai kelompok belia yang tercicir dari arus pembangunan iaitu belia yang tidak tergolong dalam guna tenaga, tidak terbabit dengan sebarang program pendidikan dan tidak mengikuti sebarang program latihan kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Rizan berkata, PKPB juga menyeru pihak industri untuk mempunyai semangat nasionalisme Malaysia yang tinggi melalui jalinan kerjasama dengan penyedia latihan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan NEET agar dapat mengharungi cabaran ekonomi hari ini.

“PKPB juga menyambut baik pelantikan Datuk Seri M Saravanan sebagai Menteri Sumber Manusia dan Awang Hashim sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

“PKPB akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada mereka berdua untuk menerajui kementerian di samping sedia memberikan khidmat sosial bagi menjayakan sebarang inisiatif tertentu dan mempromosikannya secara meluas supaya dapat menarik minat golongan NEET untuk bersama bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 10:32 PM