Rosyahaida Abdullah


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) komited memastikan pembangunan Pasar Datuk Keramat yang dijangka dimulakan secara berfasa pada awal tahun depan dapat disegerakan sekali gus membawa wajah baharu yang mampu merangsang pendapatan lebih baik buat peniaga.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu bagaimanapun tidak akan mengecualikan pandangan setiap pihak yang terbabit secara langsung khususnya peniaga dan penduduk terutamanya sepanjang proses pembangunan yang dijangka memakan masa antara tujuh hingga 10 tahun.

"Saya juga ingin pastikan bagaimana pasar yang begitu maju ini nanti tidak menimbulkan masalah selepas berpindah khususnya dari segi prestasi perniagaan peniaga itu sendiri.

"Tiada gunanya kita bangunkan pasar baharu tetapi perniagaan mereka (peniaga) merosot. Kita sudah alaminya sebelum ini, bangunan lebih cantik, semakin elok tetapi pendapatan mereka terjejas," katanya pada sidang media selepas turun padang ke Pasar Datuk Keramat di sini, hari ini.

Beliau diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Pasar Datuk Keramat adalah antara pasar paling maju dengan bilangan peniaga yang ramai iaitu 333 peniaga ketika ini.

Disebabkan itu kata beliau, KWP sedaya upaya memajukannya dengan cukup berhati-hati dan memberikan keutamaan kepada pasar itu untuk dilihat secara lebih terperinci.

"Kita mahukan projek ini berjalan dengan baik bukan saja dari segi tempoh pelaksanaannya supaya ia disiapkan mengikut jadual tetapi biarlah pasar baharu itu nanti membawa lebih rezeki buat semua yang berniaga di sini.

"Ini juga termasuk ruang perniagaan yang mungkin dapat ditambah supaya peniaga dan penjaja lain dapat turut mengambil bahagian untuk berniaga bersama apabila pembangunan siap.

"Secara keseluruhan, kita anggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) untuk projek Pasar Datuk Keramat lebih RM400 juta meliputi ketiga-tiga lokasi yang terbabit termasuk perumahan untuk penduduk di tapak sementara," katanya.

Sementara itu, memperincikan projek terbabit, Nor Hisham berkata, DBKL masih berbincang berkait isu teknikal dengan pihak pemaju sebelum pembangunan itu boleh dimulakan.

"Secara umumnya, cadangan awal adalah pemaju akan membina perumahan baru di lot tanah milik DBKL di Keramat untuk penduduk Sri Perlis 1.

"Apabila perumahan ini siap, penduduk Sri Perlis 1 akan dipindahkan ke sana manakala peniaga pasar pula akan ditempatkan buat sementara waktu di situ (Sri Perlis 1) sebelum kerja pembangunan Pasar Datuk Keramat di tapak asal dimulakan.

"Apabila pembangunan pasar selesai, peniaga akan kembali berniaga di pasar asal mengikut reka bentuk baharu iaitu pasar di bawah dan kediaman di atas, dan pemaju boleh meneruskan pembangunan mereka di Sri Perlis 1," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:30 PM