Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan slogan 'Demi Bangsa Johor'.

Muhyiddin berkata, PN menyediakan ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, lapan tunjang utama yang menjadi fokus PN itu ialah kepimpinan yang berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, ikrar yang ditawarkan itu bukan retorik semata-mata, sebaliknya adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan bersih, cekap dan prihatin rakyat.

"Pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan cekap mestilah ditunjangi oleh kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah.

"Oleh itu, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendokong pemimpin berintegriti, bebas rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa.

"Selain itu, kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan melalui pemerkasaan tadbir urus agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri.

"Ini merangkumi usaha untuk menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan dan mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

MUHYIDDIN ketika merasmikan Ikrar PN Untuk Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN ketika merasmikan Ikrar PN Untuk Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 12:42 PM