Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperluaskan siasatan ke kawasan melebihi radius 1 kilometer dalam usaha mengesan punca pencemaran bau di Sungai Tiram di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar, berkata, JAS sudah mengambil sampel daripada enam premis termasuk kilang yang beroperasi dalam kawasan kira-kira 1 kilometer.

Menurutnya keputusan awal mendapati kesemuanya tidak menyumbang kepada pencemaran yang berlaku.

"Menerusi siasatan dilakukan JAS mulai 4 petang kelmarin bagaimanapun mengenalpasti kilang minyak sawit enapcemar (SPO) di Sungai Redan yang didapati beroperasi secara haram dipercayai sejak tiga tahun lalu.

"Premis itu diarahkan tutup operasi dengan segera oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

"Kita tidak akan berkompromi dengan kewujudan kilang haram dan sekiranya ada operasi mana-mana kilang yang mencemari alam sekitar, tindakan akan diambil.

"Bagi kes pencemaran yang berlaku di kawasan berkenaan buat kali pertama, siasatan dilakukan secara menyeluruh termasuk menguji tahap kualiti udara dan air sungai dan semuanya didapati normal dan bau busuk juga sudah tiada.

"JAS mendapati tiada premis sekitar kawasan perkampungan berhampiran menjalankan aktiviti tidak diingini.

"Namun JAS akan meneruskan siasatan dan mendapatkan sampel dan laporan dari premis atau lokasi di kawasan sejauh lebih satu kilometer termasuk kilang, sungai dan tapak pelupusan bagi mengenalpasti punca," katanya di sidang media di Dewan Raya Sungai Tiram di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Azizul Bachok.

Sementara itu, Raven berkata, sehingga kini tiada mana-mana mangsa dimasukkan ke hospital mahupun mengalami alahan teruk.

Menurutnya, keadaan semua mangsa adalah stabil dan selepas dua hari sekolah di kawasan berkenaan ditutup, ia dibuka semula dan beroperasi seperti biasa.

"Memang kes berkenaan membimbangkan ibu bapa pada hari pertama namun hari ini semua kembali normal apabila keadaan pulih dan pencemaran tidak berulang," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, seramai 28 individu dari dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram didapati bergejala akibat pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 8:40 PM