GAMBAR fail pasukan keselamatan membuat pemeriksaan bagi mengesan pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba
GAMBAR fail pasukan keselamatan membuat pemeriksaan bagi mengesan pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram. FOTO Ihsan Bomba
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiada bukti berlaku pembuangan sisa terjadual ke Sungai Tiram, di sini yang menyebabkan berlaku pencemaran bau Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar berkata, Jabatan Alam Sekitar (Jas) Johor dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga mengambil sampel di Sungai terbabit, namun bacaan adalah normal.

"Pemantauan dibuat di Sungai Tiram yang berhampiran sekolah tidak menemukan perkara meragukan. Sekiranya ada pencemaran di sungai ia pasti dapat dikesan.

"Walaupun ia (pencemaran) dialirkan air sungai, pasti meninggalkan sisa di tebing sungai namun tiada sebarang sisa dikesan. Kualiti air juga dalam keadaan baik dan tiada apa-apa abnormal yang dikesan," katanya pada sidang media selepas pelancaran MATTA Fair Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum dapat mengesan bukti konkrit punca pencemaran pada satu tempat yang menjadi punca.

"Oleh itu, kita tidak boleh tergesa-gesa membuat conclusion (kesimpulan) sehingga dapat kesan bukti yang kukuh. Apa yang boleh kita pastikan, keadaan sudah pulih dan terkawal," katanya.

Selasa lalu, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin SK Sungai Tiram dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:09 PM