Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur kempen berhubung ucapan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit berhubung ucapan Fahmi di masjid berkenaan.

"Dalam tempoh 12 minit ucapan daripada menteri adalah penerangan berhubung kumpulan muzik, The 1975.

"Kita memanggil lapan saksi termasuk pengadu dan mereka yang hadir bersama ketika ucapan itu dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video itu dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan kerana membuatkan kenyataan tidak benar.

Katanya, tindakan akan diambil kepada orang yang menyebarkan berita berkenaan.

"Jika perkara yang benar okey tetapi yang memfitnah adalah sesuatu kesalahan dibawah jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Pada Isnin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan menerima aduan dan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung insiden berkenaan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.

Dalam pada itu, Hussein memberitahu, sebanyak 272 laporan polis diterima dengan tujuh kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang bermula pada Sabtu lalu.

"Ini termasuk satu kejadian mencuri bendera kempen yang berlaku di Tanjung Sepat.

"Kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

GAMBAR Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, semalam yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, semalam yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 5:55 PM