MUHYIDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
MUHYIDDIN, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Rakyat Malaysia tidak harus melupakan asas kemerdekaan negara yang dibina atas terma mengenai hak-hak kaum yang dipersetujui secara bersama oleh pemimpin terdahulu.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terma itu antaranya kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak yang sah untuk semua kaum dan Islam sebagai Agama Persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.

Menurutnya, bahasa Melayu diletakkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda yang lain boleh dipertuturkan oleh kaum bukan Melayu dan hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau mengajak rakyat untuk memperingati dan menghargai jasa-jasa pemimpin terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ini.

"Mereka berjuang dengan gigih untuk memerdekakan tanah air kita kerana itulah lambang kehormatan bangsa.

"Bangsa kita tidak mempunyai kehormatan diri jika terus dijajah dan dengan kemerdekaan ini, kita mempunyai hak dan kebebasan untuk memerintah tanah air sendiri serta memajukan bangsa dan tanah air kita.

"Sepanjang tempoh 66 tahun negara mencapai kemerdekaan dan dalam tempoh itu membuktikan Malaysia berjaya melalui pelbagai fasa pembangunan dan kemajuan," katanya dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan di akaun Facebook malam tadi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi ketika ini memberi ruang kepada usaha-usaha untuk mengisi kemerdekaan negara.

"Ini termasuk memacu pembangunan dan kemajuan ekonomi yang telah mengangkat taraf hidup rakyat daripada kehidupan yang mundur dan miskin kepada kehidupan yang lebih maju dan selesa.

"Kerajaan mana pun yang mentadbir negara, terma-terma menjadi asas kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa ini harus terus dipertahankan serta dilaksanakan menerusi dasar atau program kerajaan yang jelas.

"Janganlah sesekali ia diabaikan atau dihakis .Semoga Malaysia terus aman, makmur dan harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 12:53 PM