Alhamdulillah syukur, berkat para pejuang tanah air terdahulu, baik mereka yang berjuang ulama, ilmuwan agama, para sasterawan, lebih-lebih lagi mereka yang menggalas senjata, menjadikan kehidupan kita hari ini cukup selesa dengan dapat menjalani hidup secara aman, damai dan harmoni. Jadi, keamanan ibarat akar tunjang kepada kelangsungan hidup kita dalam mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Selama enam dekad lebih negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan sejak tanggal 31 Ogos 1957 dulu, masyarakat kita yang pelbagai bangsa dan agama dapat menyusuri kehidupan dalam situasi yang harmoni dan aman tenteram. Namun, kini nampaknya kocakan api permusuhan semakin ketara dan kerenggangan antara ummah dan antara masyarakat yang lain terhakis dari sehari ke sehari. Nikmat keamanan dan ketenteraman yang Allah kurniakan di negara kita yang permai dan makmur ini sangat tidak wajar kita gadaikan semata-mata kerana ingin tegakkan kehendak nafsu diri sendiri.
Sesungguhnya Islam tidak pernah ada istilah hidup berpuak-puak dan berpecah belah. Yang ditekankan hanyalah supaya kita sentiasa membina sebuah masyarakat dan sebuah negara yang harmoni yang hidup aman tenteram tanpa mengira apa sahaja perbezaan agama mahupun rupa bangsa.
Lihatlah bagaimana Nabi saw semasa mula menjejakkan kakinya di bumi Madinah al-Munawarah dulu Baginda bersegera menggubal Piagam Madinah sebagai jurupandu kepada seluruh masyarakat Madinah bagaimana tatacara kehidupan yang harmoni. Madinah ketika itu terdiri daripada pelbagai keturunan dan anutan agama. Kaedah Nabi saw itu ternyata strategi tepat dalam merencanakan pembangunan buat Kota Madinah sehingga akhirnya terbina sebuah negara Islam yang maju, aman dan harmoni.
Namun, kita yang akhir-akhir begitu ghairah pula memporakperandakan keharmonian dan keamanan negara dengan pelbagai unsur keji yang dilarang agama. Dunia laman sosial begitu 'meriah' dengan taburan kata-kata fitnah dan yang berunsurkan provokasi melampau. Seandainya gejala kurang sihat ini tidak ditangani segera oleh semua pihak khususnya pihak berwajib dikhuatiri ia akan menjejaskan corak hidup masyarakat yang akan menjebakkan mereka ke kancah perpecahan yang lebih kronik.
Tenangkah kita mendirikan solat seandainya di sekeliling kita sentiasa tercetus perbalahan dan pergaduhan? Amankah kita ke pejabat atau membuat apa sahaja kerja-kerja mencari sumber rezeki, sekiranya di sekitar kita sentiasa kecuh dan huru-hara? Selamatkah anak-anak kita pergi dan balik sekolah apabila di jalan raya penuh dengan tunjuk perasaan dan rusuhan?
Insan yang berakal waras sudah tentu tidak ingin hidup dalam suasana yang huru-hara dan penuh sengketa. Ini kerana keamanan adalah aset paling bernilai untuk membolehkan kita melakukan amal ibadah dan amalan soleh yang lain tanpa rasa takut terhadap keselamatan.
Justeru, bersamalah kita kekal memautkan ikatan ukhuwah ummah yang seeratnya. Ingatlah akan peringatan Allah sebagaimana terakam dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud, 'Dan berpegang teguhlah sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (pada zaman jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.'
Dalam sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum dan anutan agama seperti negara kita, sikap saling hormat-menghormati, saling bertoleransi dan saling menjaga sensitiviti kaum yang lain adalah perkara asas yang akan menentukan keamanan masyarakat. Terhakisnya nilai-nilai itu, bermakna akan mengundang petaka besar dan tidak keterlaluan dikatakan akan mewujudkan prejudis kaum yang lebih kritikal yang akhirnya akan merosakkan momentum kemajuan negara yang kini sedang aktif menuju ke arah negara maju.
Kita semua sebagai rakyat jelata tanpa mengira apa jua kedudukan, rupa bangsa dan anutan agama sewajibnya sentiasa berpegang kukuh terhadap perlembagaan negara. Kaum-kaum lain wajib menghormati hak-hak kaum Melayu dan Bumiputera lain. Begitu juga terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara yang disahihkan oleh perlembagaan Malaysia. Sikap tidak peduli dengan sensitiviti kaum lain dan anutan agama lain dikenal pasti telah menyebabkan banyak negara di luar sana berkecamuk dan huru hara.
Sudah pastinya kita juga tidak inginkan situasi buruk seperti yang mereka alami itu terjadi di negara kita yang tercinta ini. Jadi, hargailah dan peliharalah keamanan negara kerana keamanan adalah nikmat yang perlu disyukuri. Memporak- perandakan negara dengan pelbagai provokasi yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama pastinya satu tanda kurangnya rasa syukur atas nikmat yang Allah limpahkan kepada kita selama ini. Tergamakkah kita menjadi seorang yang kufur nikmat Allah?
Selamat Hari Kebangsaan, semoga negara kita yang tercinta ini sentiasa kekal memperoleh rahmat dan keberkatan daripada Allah. Insya-Allah.
Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah