AZRENNIZAM memujuk seekor daripada anak panda gergasi yang akan dihantar pulang ke China malam ini. FOTO BERNAMA
AZRENNIZAM memujuk seekor daripada anak panda gergasi yang akan dihantar pulang ke China malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Kepulangan anak panda gergasi, Yi Yi dan Sheng Yi ke China meninggalkan kesan mendalam kepada seorang daripada penjaganya, Azrennizam Ibrahim.

Ketika proses pemunggahan kedua-dua anak panda itu di hotel haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Azrennizam, 46, dilihat memanggil nama kedua-duanya sambil menepuk sangkar haiwan itu bagi memastikan ia tenang semasa proses berkenaan.

Sekali sekala, beliau mengesat air mata sambil mengusap sangkar anak panda berkenaan.

"Saya cuma harap penjaga panda ini nanti akan jaga sebaik mungkin, kerana kami jaga seperti menatang minyak yang penuh," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas proses pemunggahan Yi Yi dan Sheng Yi.

Sejurus tiba di hotel haiwan berkenaan, Yi Yi dan Sheng Yi ditempatkan di sebuah bilik yang sama untuk tempoh bertenang selepas menempuhi perjalanan kira-kira setengah jam dari Zoo Negara, selain turut diberi makan dan minum.

Azrennizam berkata pengalaman menjaga anak-anak panda termasuk ibu bapa haiwan itu adalah perkara paling berharga dan tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.

"Saya pasti akan sentiasa teringat keletah manja dan nakal anak panda tersebut terutamanya si bongsu Sheng Yi. Saya melihat dan menjaga adik-beradik panda ini sejak dari kecil termasuk yang sulung Nuan Nuan," katanya yang berharap dapat berjumpa kembali dengan adik-beradik panda itu suatu hari nanti meskipun agak mustahil.

DUA anak panda gergasi Yi Yi dan Sheng Yi di hantar pulang ke China melalui Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini. FOTO Bernama
DUA anak panda gergasi Yi Yi dan Sheng Yi di hantar pulang ke China melalui Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini. FOTO Bernama

Dua anak panda gergasi yang dihantar pulang ke China hari ini dijadualkan berlepas dengan penerbangan kira-kira 10.30 malam.

Nuan Nuan yang dilahirkan pada 8 Ogos 2015, Yi Yi (14 Januari 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021) adalah anak pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang.

Nuan Nuan telah pun dihantar ke China pada 2017.

Ibu bapa panda itu dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 11:03 PM