GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat penemuan bayi perempuan dalam tong sampah berhampiran Apartmen Langkawi, Klebang, kelmarin untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, bayi seberat 2.2 kilogram itu ditemui pesara kerajaan, 50, selepas dimaklum anaknya yang mendengar bunyi tangisan pada 10.30 malam.

"Pemeriksaannya menemukan bayi itu, disyaki baru dilahirkan yang diletak dalam beg plastik putih, di dalam tong sampah.

"Dia kemudian membawa beg plastik itu ke Balai Polis Simpang Tiga dan anggota yang memeriksa beg berkenaan menemui bayi itu yang berbungkus kain tebal berwarna coklat," katanya ketika dihubungi.

Christopher berkata, bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka dengan ambulans dan disahkan dalam keadaan sihat.

"Kita berharap orang ramai yang ada maklumat berhubung perkara ini supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk bantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 8:59 PM