Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh terhadap seorang pemandu teksi pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Hanif Mohd Rosli, 29, hanya mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Sukri.

Namun, tiada pengakuan direkodkan dibuat terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hanif didakwa menyebabkan kematian terhadap Mohd Latif Idris, 51, dalam kenderaan milik mangsa.

Pada 10 Ogos lalu, tertuduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Jalan Pantai Telok Ketapang lebih kurang antara 10.09 malam sehingga 10.56 malam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahir Mat Jusoh.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 September ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus.

Mangsa berusia 51 tahun itu ditemui di tempat duduk belakang di dalam sebuah teksi dengan keadaan berlumuran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:10 PM
MUHAMMAD Hanif (tengah) didakwa membunuh seorang pemandu teksi pada 10 Ogos lalu. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMAD Hanif (tengah) didakwa membunuh seorang pemandu teksi pada 10 Ogos lalu. FOTO Ghazali Kori