Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, di sini, hari ini, atas tuduhan mengambil pekerja wanita warga Indonesia tanpa permit yang sah.

Mohd Badlishah Abdullah, 53, dan Shapiza Abdul Aziz, 40, membuat pengakuan itu sebaik tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, Mohd Badlishah dan Shapiza didakwa mengambil seorang pekerja warga Indonesia berusia 37 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah jam 7.30 malam pada 7 Mac lalu di sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang.

Dakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara sehingga 12 tahun atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang diambil bekerja.

Mahkamah membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM10,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta 15 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 4:57 PM
Mohd Badlishah dan Shapiza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengambil pekerja wanita warga asing tanpa permit. FOTO Yazit Razali
Mohd Badlishah dan Shapiza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas pertuduhan mengambil pekerja wanita warga asing tanpa permit. FOTO Yazit Razali