GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tidak lama lagi, masyarakat Cina secara amnya melihat acara tahunan itu sebagai bukti toleransi dan penerimaan, selain menjadi peristiwa penting dalam pencapaian dan kemajuan negara.

Leong Kan Sin yang dilahirkan tanggal 31 Ogos 1957 berkata, kerajaan dan rakyat memainkan peranan yang sama penting dalam memelihara keharmonian berbilang kaum, yang merupakan identiti eksklusif Malaysia.

"Sekarang ini, saya lihat begitu banyak perbezaan pendapat terutamanya dalam hal berkaitan kaum dan agama. Sebelum ini, kita hidup dalam harmoni dan bersatu...kita dapat mencapai persefahaman dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Kenapa perlu berbeza hari ini? Kita harus ingat bahawa kita hidup dalam negara yang memartabatkan rasa hormat tanpa mengira latar belakang rakyat yang pelbagai.

"Saya berharap golongan muda hari ini ingat bahawa semuanya berpunca daripada toleransi dan penerimaan antara satu sama lain; masih belum terlambat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai budaya dan adat berbeza untuk meluaskan perspektif," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wartawan akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily, Cherrie Wong berkata, Hari Kebangsaan ialah hari meraikan pencapaian dan kemajuan dengan menyaksikan rakyat Malaysia hidup dalam perpaduan serta harmoni.

"Tambahan pula, ia membawa sentimen kebangsaan yang kuat membuatkan orang ramai menghargai budaya dan nilai negara kita. Detik paling penting adalah tertumpu kepada perpaduan dan semangat kekitaan," katanya.

Menurut Wong, jika dia tidak bekerja pada Hari Kebangsaan, dia memilih untuk melawat muzium bagi meneroka sejarah negara dan menggali lebih dalam kisah kemerdekaan Malaysia.

"Saya rasa melawat muzium lebih baik daripada keluar membeli-belah. Pilihan kedua pula adalah duduk di rumah dan menonton rancangan bertemakan Hari Kebangsaan, yang pada saya lebih bermakna dan menyegarkan," katanya.

Sementara itu, eksekutif media sosial Greg Cheng, 38, berkata bagi meningkatkan semangat patriotik, dia memasang Jalur Gemilang di pintu pagar rumahnya.

"Setiap tahun pada minggu kedua bulan Ogos, kami memasang bendera dan memastikan ia selamat. Ia perbuatan mudah tapi tetap membanggakan kerana bendera kami megah di depan rumah," katanya.

Pegawai Pemasaran Soh Chin Hooi, 28, berkata ramai kenalannya menganggap Hari Kebangsaan sebagai satu lagi cuti umum dan akan merancang untuk pergi bercuti jika ia jatuh pada hujung minggu yang panjang.

"Saya rasa ia perkara biasa dalam kalangan masyarakat moden hari ini...semua orang telah bekerja di bawah tekanan luar biasa hampir setiap hari. Jadi mereka hanya mengambilnya sebagai satu lagi peluang berehat dan mengecas semula. Itu tidak mengapa.

"Inilah keindahan negara kita; semua orang boleh meraikan apa yang mereka mahu. Tidak ada satu cara yang pasti untuk melakukan sesuatu perkara," katanya.

Soh berkata, Hari Kebangsaan boleh disambut dengan cara berbeza asalkan tidak mengganggu ketenteraman orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 10:08 PM