Alif berkongsi rutin hariannya menjaga ibunya yang terlantar di TikTok. FOTO ihsan Alif Rosehaizad
Alif berkongsi rutin hariannya menjaga ibunya yang terlantar di TikTok. FOTO ihsan Alif Rosehaizad
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bukan mudah meninggalkan kerjaya tambahan pula sudah berjawatan tinggi, namun pemuda ini tekad keluar dari zon selesa demi menjaga ibunya yang terlantar.

Alif Rosehaizad, 34, berkata, dia membuat pengorbanan itu bagi memastikan ibunya yang dikenali sebagai Chek, 65, selesa berada di bawah jagaan darah dagingnya sendiri.

Menurutnya, dia dan lima adik beradik mula bergilir menjaga ibu mereka yang lumpuh seluruh badan selepas disahkan mengalami Hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) akibat kekurangan oksigen pada Jun 2022.

"Sebelum ini, kami mengambil perkhidmatan jururawat peribadi untuk menjaga mak dari pagi ke petang, manakala saya dan adik ambil-alih menjaganya selepas 5 petang sehingga keesokkan harinya.

"Saya tak mampu berikan 100 peratus perhatian kepada mak kerana kesibukan bekerja dan penat selepas balik bekerja yang membuatkan saya berasa bersalah andainya kami tak mampu berikan yang terbaik kerana mak membesarkan kami adik-beradik dengan baik.

"Selain itu, saya boleh lihat perbezaan ketara apabila kami menjaga sendiri apabila mak nampak lebih sihat, berseri dan saya pun lebih puas kerana sangat teliti dalam penjagaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia mengambil keputusan meninggalkan kerjaya terakhir sebagai pengurus komunikasi strategik untuk memberi tumpuan kepada penjagaan ibunya secara sepenuh masa sejak Jun lalu.

"Sayang memang sayang (berhenti kerja) sebab sembilan tahun dalam bidang ini, saya belajar banyak dan jumpa pelbagai orang selain membina momentum dalam karier saya.

"Tapi saya yakin rezeki itu boleh dicari dan karier saya juga boleh disambung semula bila-bila masa saja berbanding kalau saya tak jaga mak sekarang sementara dia masih lagi di sini, saya akan menyesal sampai bila-bila.

"Jadi saya buat keputusan berat untuk fokus kepada mak untuk pastikan dia selesa, aibnya terjaga dan dikelilingi orang tersayang.

"Saya juga bersyukur kerana ayah kami masih lagi mempunyai sumber pendapatan jadi Alhamdulillah kami masih mampu menampung perbelanjaan cuma saya sendiri perlu mengubah sedikit gaya hidup kerana tiada lagi pendapatan dengan tidak boleh lagi hidup seperti sebelum ini seperti melancong, melakukan hobi dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, menjaga orang sakit mencabar dari segi fizikal dan mental, namun dia mendapat sokongan dari setiap ahli keluarganya yang turut memainkan peranan masing-masing bagi memastikan dia juga mendapat rehat mencukupi dan menjalani kehidupan seimbang.

"Penat fizikal kerana apabila pesakit lumpuh 100 peratus perlukan bantuan jadi kita kena angkat sendiri dan gerakkan badannya dan saya juga perlu mengemas rumah dan memasak untuk keluarga.

"Dari segi mental pula, kita sendiri sedih sebab mak sakit dan kasihankan dia tetapi masih kena kuatkan diri untuk terus menjaga serta pada masa sama sudah tiada kemewahan masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan dan beraktiviti seperti dulu umpama hidup kita sedang 'pause' seketika untuk fokus kepada satu benda.

"Namun saya bangga kerana semua adik-beradik dan ayah memainkan peranan masing-masing dalam menjaga mak walaupun tidak nampak dalam video saya kongsikan.

"Abang-abang saya masih lagi menjaga mak beberapa malam seminggu, adik saya yang bekerja menjaga mak selepas Subuh dan menguruskan janji temu dan ubat-ubatan di hospital dan adik-adik yang masih belajar sentiasa membantu jika balik ke rumah dari universiti," katanya.

Selain itu, katanya, dia mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam, belajar perkara baharu seperti memasak dan berkongsi ilmu tentang penjagaan pesakit terlantar di akaun TikTok, alifr0z.

"Pada asalnya banyak yang kami perlu belajar dari 'scratch' mengenai penjagaan pesakit terlantar sebab kami tiada sebarang pengalaman jadi kami banyak belajar dari YouTube.

"Dari situ saya terfikir alangkah bagusnya kalau ada sumber rujukan dalam bahasa Melayu sebagai panduan orang yang sedang melalui benda sama, jadi saya buka akaun TikTok untuk berkongsi cara penjagaan pesakit terlantar, tips dan barang keperluan.

"Melalui TikTok saya, ramai orang yang sedang melalui benda sama turut berkongsi pengalaman masing-masing dan berterima kasih dengan tips saya kongsi, semua ini juga satu motivasi bagi saya untuk terus menghasilkan content dan bersemangat untuk menjaga mak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 2:23 PM