AHMAD Samsuri (duduk, tengah) bergambar bersama Ahli- ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (duduk, tiga kiri). FOTO BErnama
AHMAD Samsuri (duduk, tengah) bergambar bersama Ahli- ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman. Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (duduk, tiga kiri). FOTO BErnama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan senarai sebelas portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk seorang wakil daripada Bersatu di Wisma Darul Iman, di sini.

Ahmad Samsuri berkata, terdapat beberapa perubahan dan penyelarasan yang dibuat pada portfolio negeri berbanding penggal lalu bagi tujuan penambahbaikan dan memudahkan gerak kerja dengan kementerian di peringkat pusat.

"Kita harap semua Exco dapat bergerak lebih pantas dan menjalankan tugas dengan cemerlang untuk kemajuan rakyat dan negeri Terengganu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri pertama di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang mengumumkan beliau memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli manakala Adun Paka Datuk Satiful Bahari Mamat dilantik Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Adun Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah pula dilantik Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sementara Adun Jabi Dr Azman Ibrahim yang memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi pada penggal lalu kekal menerajui bidang berkenaan.

Sementara itu, Adun Kota Putera Mohd Khuzaini Abd Rahman yang sebelum ini menerajui portfolio keusahawanan dilantik Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau manakala Adun Chukai Hanafiah Mat dilantik sebagai Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.

Adun Alor Limbat Ariffin Deraman yang memegang portfolio pelancongan pada penggal lalu pula dilantik Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Empat muka baharu Exco yang dilantik ialah Adun Kijal Datuk Razali Idris (Bersatu) sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Adun Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi diamanahkan portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.

Dua lagi iaitu Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim dilantik sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan manakala Adun Ajil Maliaman Kassim diberi portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 3:31 PM