Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Atas nama apa (sekali pun) Timah, Dollah atau Wahab ke... kita tidak bersetuju," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Idris yang juga Naib Presiden Pas itu berkata, Pas menegaskan pendirian yang jelas berhubung isu nama arak Timah.

"Dalam hal ini pendirian Pas bab arak jelas kita tidak bersetuju, dalam apa nama Timah atau tak Timah... itu jelas kepada kita (tidak pernah bersetuju) daripada awal lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung keputusan diumumkan Kabinet yang bersetuju mengekalkan nama berkenaan arak Timah itu.

Menurutnya, pihaknya setakat ini tidak melihat lagi pimpinan Pas yang bersetuju membabitkan isu berkenaan.

Semalam, media melaporkan Kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corpration (M) Sdn. Bhd. untuk terus menggunakan jenama Timah di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, syarikat pengeluar itu dikehendaki memasukkan label tambahan pada botol wiski itu untuk menjelaskan bahawa nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah, seperti yang diusulkan oleh syarikat itu sendiri.

Terdahulu, Idris hadir menyerahkan sumbangan bagi Program Inspirasiku MyHAUS kepada keluarga Azidi Sudin,53, di rumahnya di Kampung Sri Aman Menglembu

Program MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengambil inisiatif membantu keluarga Azidi yang hidup dalam serba kekurangan dengan menyerahkan sumbangan keseluruhan sejumlah RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 3:34 PM