Penunggang dan pembonceng motosikal maut di Jalan Sultan Tengah, Kuching hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Penunggang dan pembonceng motosikal maut di Jalan Sultan Tengah, Kuching hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pokok di tepi Jalan Sultan Tengah, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kedua-dua lelaki berusia 39 dan 48 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 6 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Pasir Pandak menghala ke Santubong.

"Siasatan awal mendapati motosikal Honda EX-5 dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar pokok di sebelah kiri jalan.

"Paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 4:32 PM