KHAZAN (tengah) bersama wakil calonnya menunjukkan borang penamaan calon. Foto Malik Muhamad
KHAZAN (tengah) bersama wakil calonnya menunjukkan borang penamaan calon. Foto Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Razif Abd Rahman tiba di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Seberang Takir pada 8.45 diiringi lebih 1,000 penyokong.

Lima minit berselang, calon daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Khazan Che Mat yang mewakili Perikatan Nasional (PN) tiba di pusat penamaan calon juga diiringi lebih 1,000 penyokong setia mereka.

Wakil calon bersama penyokong mereka memulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan laungan keramat parti masing-masing.

Sebaik memasuki dewan pusat penamaan calon, Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu bersama dua wakil calonnya terlebih dahulu menyerahkan borang penamaan calon manakala calon PN bersama dua wakil calonnya menyerahkan borang dua minit berselang.

Dijangka pertembungan di kawasan ini membabitkan dua penjuru antara BN dan PN bagi berebut kerusi DUN Seberang Takir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos depan.

Pada PRU ke-14, Razif yang mewakili BN menang dengan majoriti 1,884 menewaskan calon PAS, Mohd Fazil Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 10:13 AM